LEBAH MAKHLUK ALLAH YANG ISTIMEWA
Keistimewaan lebah ini telah diabadikan oleh Allah (s.w.t.) di dalam kitab-Nya, Al-Quran. Pengabadian in dilakukan dengan menamakan satu surah yang mengandungi 128 ayat yang diturunkan di Mekah, oleh itu ianya dinamakan surah Makkiyyah. Surah tersebut dinamakan "An-Nahl" (lebah) lantaran di dalam surah ini terdapat firman Allah s.w.t. ayat ke-68 yang bermaksud :
" DAN TUHANMU MENWAHYUKAN KEPADA LEBAH " .
Lebah adalah makhluk Allah (s.w.t.) yang mempunyai banyak manfaat dan kenikmatan kepada kehidupan manusia. Terdapat persamaan antara madu yang dihasilkan oleh lebah dengan kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w.). Madu terhasil dari sari berbagai-bagai bunga dan menjadi ubat (penyembuh) bagi berbagai-bagai jenis penyakit.
Manakala Al-Quran mengandungi intisari dari kitab-kitab yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi zaman dahulu dan mempunyai ajaran-ajaran yang diperlukan oleh semua manusia dan bangsa tidak kira warna kulit, tempat dan zaman.
Buku ini menampilkan keistimewaan madu lebah asli khususnya dalam kaedah perubatan traditional. Para pembaca boleh mencuba dan mengamalkan sendiri. Maha Besar Allah Yang Mencipta Segala Makhluk Yang Amat Menakjubkan.