Tawassul/ wasilah, istighasah dan syafa'at masih dianggap sebagai persoalan khilafiah oleh kalangan pembuat dan pencipta bid'ah kerana mereka cuba menyelesaikan persoalan ini melalui pertimbangan logika akal (hawa nafsu) mereka tanpa dikembalikan sepenuhnya kepada sumber yang hak iaitu Al-Qur'an dan al-Hadith yang sahih. Sedangkan Allah telah memberi amaran dari melibatkan akal fikiran manusia dalam menyelesaikan hal-hal agama yang membawa kepada perselisihan :
" Tentang sesuatu apapun yang kamu perselisihkan, maka hukumnya kembalikan kepada Allah".
As-Syura, 42:10.
" Kemudian kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah perkara itu kepada Allah dan Rasul jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat".
AN-Nisa, 4:59.
Seseorang yang mengakui benar-benar beriman dengan ayat di atas tidak sewajarnya membelakangkan ayat tersebut apabila ingin menyelesaikan berbagai-bagai perselisihan mereka terutamanya menetapkan sesuatu hukum supaya tidak berlaku perbuatan yang bid'ah dan syirik.
Buku ini insya' Allah akan membantu para pembaca mencari jawapan dan menyelesaikan pertelingkahan dua golongan yang sejak sekian lama masih belum terhurai dan terus menyalahkan antara satu dengan lain .