Pada zaman Rasulullah, para sahabat mengambil sumber hukum syara' dari Al-Qur'an yang diterima secara langsung dari Rasulullah S.A.W. Akan tetapi, di antara hukum-hukum dalam Al-Qur'an, banyak yang diturunkan secara umum, tanpa diperinci lebih jauh.
Banyak juga yang ditemui secara mutlak dengan tiada pengkhususan lebih lanjut. Misalnya perintah solat, di dalam Al-Qur'an dikemukakan secara garis besar, tanpa penjelasan mengenai jumlah raka'at, tata-cara ataupun waktunya. Demikian pula perintah zakat disampaikan secara mutlak, tanpa ditentukan nisabnya dan tidak pula diterangkan ukuran-ukuran syarat-syaratnya. Ada pula hukum-hukum yang tidak mungkin dilaksanakan tanpa mengetahui penjelasan lebih lanjut mengenai segala sesuatu yang menyangkut persyaratannya, rukun-rukun serta yang membatalkannya. Para sahabat mesti menghadap lagi kepada Rasulullah untuk mendapatkan hukum yang lebih terperinci dan lebih jelas.
Demikianlah terjadi, bahawa banyak peristiwa-peristiwa yang tidak ada nashnya yang terperinci dalam Al-Qur'an. Oleh kerana itu, diperlukan penjelasan ketetapan hukumnya atas dasar tuntunan Nabi S.A.W. Sebab bukankah baginda adalah mubaligh (penyampai) ketentuan Allah, dan kerana bagindalah yang paling mengetahui maksud syari'ah Allah, batas-batasnya, sasaran serta ijtihadnya